Kerjaya lakonan Sharifah_Shahirah

Beliau bermula sebagai aktres pada tahun 1993 selepas menamatkan zaman persekolahan. Beliau mengikut jejak langkah kakaknya, Sharifah Nor Azleenda atau Lynn yang lebih dahulu popular di kaca TV. Penampilan pertama Shiera di layar perak menerusi filem Imigran pada 1993 memegang watak pelayan restoran makanan Indonesia.[2] Kemudian dilamar Aziz M. Osman untuk memegang salah satu watak sokongan dalam filem Femina pada tahun yang sama.

Sejak itu Shiera sering diberi peranan pembantu dalam filem dimana kebanyakan watak-watak yang diberikan tidak cukup mencabar. Hanya pada tahun 2002 apabila Othman Hafsham menawarkan watak komedi kepada beliau dalam filem Soalnya Siapa? barulah Shiera mula mencipta nama sebagai seorang aktres komedi yang mula memintas kedudukan komedian-komedian senior. Shiera juga bertuah apabila diberi peluang untuk memegang watak yang agak menarik dalam filem Afdlin Shauki yang pertama iaitu Buli pada tahun 2004.

Biarpun sinar Shiera di layar perak tidak segermerlapan aktres-aktres komedi lain, namun nama Shiera meniti bibir peminat menerusi aksi nya di kaca TV. Drama Mat Despatch yang dibintanginya sejak 1996 hingga 2001 ternyata menjadi fenomena selain kemunculan Shiera dalam sitkom Ada Ada Aje pada tahun 2004 yang memberi tuah kepada beliau apabila dinobatkan sebagai Aktres Komedi TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa.

Biarpun tidak cenderung kepada watak-watak dramatik, namun Shiera pernah diberi peluang untuk memegang watak-watak serius. Antara yang paling berkesan adalah menerusi watak utamanya dalam drama bersiri Salam Terakhir bersama Zul Yahya pada tahun 2002. Ironinya, Zul Yahya juga adalah aktor komedi yang sering digandingkan bersama-sama Shiera.